Thursday, 7 May 2015

Perempuan Nan Sekarang


[Kredit]

Tulisan ini bukan tulisan seorang seksis. Bukan juga seorang chauvinis. Apatah lagi seorang ekstremis. Eh.
Tapi ia datang dari seorang hati lelaki yang punya seorang Puan Mama dan Cik Adik Perempuan, yang amat sayangkan ibu-ibu, kakak-kakak dan adik-adik perempuan saya di luar sana. Seorang lelaki ikhlas yang mengambil berat akan perihal dan kebajikan kaum Hawa. 
Ehem.
Alkisahnya bermula pada minggu lepas, saya telah berkongsikan perbualan saya dengan seseorang menerusi mesej peribadi MukaBuku yang bertanyakan perihal perempuan yang suka menghaplod gambar-gambarnya di MukaBuku, Instagram dan sebagainya. 
Saya kongsikan perbualan itu dalam bentuk status di MukaBuku dan Pengicau saya. 
Status itu berbunyi begini:
“Apa pandangan IG tentang perempuan yang suka haplod gambarnya di Insta, FB, etc?”
“Pada pandangan saya, mereka ni tak sesuai dibuat isteri. :3”
Nampak tak emotikon ‘:3’ yang sepatutnya menjadikan status itu lebih comel dan bersahaja?
Namun panas yang disangka sampai ke petang, rupa-rupanya hujan batu di tengah hari.
Maklum balas yang saya terima daripada status tersebut terutamanya dari kaum perempuan *koff koff* amat, err, mengerikan?

Maklum balas dan komen yang saya terima di Pengicau terutamanya, sedikit ganas dan boleh tahan dahsyat juga. Peluh besar.
Saya dituduh sebagai seksis, membuat generalisasi dan bermacam-macam lagi. Panas jugalah mata saya membacanya.
Namun saya tidak boleh menyalahkan sesiapa melainkan diri saya sendiri. Saya sewajarnya lebih berhati-hati dan sensitif dalam menulis sesuatu seperti itu, apatah lagi apabila ia melibatkan kaum perempuan yang ternyata mudah menjadi emo itu.
 

Eh eh.
  
Lantaran itu, saya telah mengeluarkan satu lagi status untuk mengendurkan keadaan. Saya jelaskan mengapa saya berkata begitu dengan dalil akal dan Quran. Alhamdulillah, status itu berjaya menyejukkan sedikit gunung-gunung berapi yang hampir meletus, meskipon masih ada yang bengkek dan tidak puas hati. Tidak mengapalah.
Maka ijinkan saya mengambil peluang di dalam penulisan ini untuk memberi penjelasan yang lebih mendalam dan meluas mungkin, dengan harapan ia dapat menghancurkan sangkaan-sangkaan yang ada, di samping berkongsi ilmu saya yang marhaen ini.
Baiklah. 

Tarik nafas.
Seperti yang kita tahu, kita sekarang ini sedang hidup di zaman yang penuh pancaroba dan fitnah Peah. Umat Islam terutamanya, berada di persimpangan peradaban manusia, tersepit antara mengekalkan jati diri muslim yang sebenar dengan cubaan untuk menyesuaikan diri dengan ketamadunan Barat (yang tidak bertamadun sebenarnya) yang tidak dapat dinafikan sedang menjadi ostad kepada dunia (Baca: Ustadziyatul Alam). 
Serangan demi serangan untuk menjauhkan umat Islam daripada hidup dengan al-Quran dan as-Sunnah giat dijalankan sejak zaman berzaman. Wasiat Raja Loius IX di ambang kematiannya agar umat Islam tidak diperangi dengan senjata tapi sebaliknya dengan minda telah dipegang dengan kuat dan dilaksanakan dengan hebat sekali oleh musuh-musuh Islam. 
Hari ini kita sendiri menjadi saksi bahawa serangan-serangan pemikiran (Baca: Ghazwul fikr) ini telah membuahkan hasil yang sekiranya Raja Louis bisa bangkit dari kuburnya, pasti dia sudah tertawa gembira penuh bahagia. Oh dengan syarat dia tidak diazab di kuburlah. Mengerikan. 
Serangan-serangan pemikiran di abad ini lebih halus dan licik lagi. Laman-laman media sosial seperti MukaBuku, Instagram, Pengicau dan entah apa-apa lagi menjadi platform terbaik untuk musuh-musuh Islam ini mengasak dan membelasah minda dan jiwa pemuda-pemudi muslim sehingga mereka sendiri tidak perasan bahawa mereka telah kehilangan identiti.
Anda skeptikal dengan kenyataan saya ini?
Nah, apakah yang mendefinisikan seseorang itu kool atau tidak di zaman ini? Bukankah dengan berapa banyak kali statusnya di’SHARE’ di laman-laman media sosial?
Apakah yang menjadikan seseorang itu hensem atau cantik pada pandangan mata massa? Bukankah dengan berapa banyak LIKE yang diterima untuk gambar profailnya?
Apakah yang menjadi kesibukan dan perhatian sebahagian besar daripada anak-anak muda di zaman ini? Bukankah dengan menghabiskan masa-masa terluang untuk menatal garis masa MukaBuku dan Pengicau untuk gosip-gosip terkini dan mengekori (Baca: Stalk) artis idaman pojaan hati di akaun Instagram mereka? 
Yang lebih menakutkan lagi adalah apabila ketaqwaan, kesolehan dan kewarakan seseorang itu juga diukur menerusi kepopularitian dan keglamoran di laman-laman media sosial. Ostad atau ostajah yang punya paling ramai pengikut dan paling banyak LIKE di laman peribadinya, ostad ostajah itulah yang paling harus diikuti dan ditaati. 
Alahai. 
Tanpa kita sedar atau pon tidak, suka atau tidak, sedikit demi sedikit, jati diri kita tidak lagi dibentuk dan dicorakkan oleh tarbiyah Islam yang suatu ketika dahulu amat berpengaruh dalam kalangan masyarakat Melayu muslim. Identiti anak-anak muda pada hari ini digarap dan dibentuk oleh trend semasa dan perkembangan terkini di laman-laman media sosial, yang tidak dapat disanggah lagi berkiblatkan barat dan gaya hidup mereka.
Dan siapa yang mengawal dan menguasai laman-laman atau aplikasi media sosial ini? Tidak lain dan tidak bukan, musuh-musuh umat Islam sejak zaman berzaman; Nasara dan Yahudi! 
Innalillahi wainnailaihi raji’un. 
Lantas saya ingin bertanyakan kepada anda, terutamanya buat anda yang hobinya menghaplod gambar-gambar anda ke akaun Instagram, MukaBuku dan sebagainya itu; apa niat dan motif anda sebenarnya? 

Bagaimana anda menjaga hati dan perasaan anda apabila ramai lelaki dan jejaka yang mengLIKE gambar-gambar anda itu? 

Sekiranya anda tidak menutup aurat, atau berpakaian ketat, atau bergaya dengan gaya atau cara yang err, ‘merbahaya’ dan boleh menaikkan syahwat (saya yakin kenyataan ini bakal dihentam dengan rancaknya nanti), anda tidak takutkah anda mengutip saham-saham neraka dengan percuma? 

Hatta perempuan yang yang bertudung litup dan berpurdah sekalipon boleh sahaja menimbulkan fitnah, apatah lagi yang selain daripada itu.  
Dan jika anda mengatakan bahawa ia adalah untuk tujuan peribadi atau para pengikut anda (Baca: Followers) terdiri daripada kaum perempuan semata, apa jaminan bahawa gambar anda itu tidak akan tersebar? 

Apa jaminan anda bahawa dalam ramai-ramai pengikut anda itu, tidak ada seorang pon yang akan terlepas berkongsikan gambar anda itu pada yang lain? Sekiranya gambar itu anda jatuh pada tangan dan mata seorang lelaki ajnabi, bukan mahram anda, bagaimana pula?
Pernahkah anda terfikirkan semua itu? 
Kerana itu, apabila ditanyakan kepada saya, apa pandangan saya terhadap perempuan yang suka menghaplod gambar-gambarnya di media sosial, tanpa perlu berfikir panjang, saya dengan selamba dan bersahajanya menjawab, “Mereka ni tak sesuai dibuat isteri”! 
Semuanya bertitik tolak pada ayat Quran yang satu ini:
“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasan (auratnya) kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya)…”
[an-Nuur, 24:31]
Nah, apa ciri-ciri wanita beriman itu? Menjaga pandangan dan kemaluan (kehormatannya) bukan? 

Tidak menampakkan perhiasan yang ada pada dirinya kecuali yang biasa dilihat bukan?
Alangkah baiknya andai ramai perempuan di luar sana sedar dan faham, bahawa kecantikan diri mereka yang sebenar itu tidak terletak pada rupa dan gaya, tapi pada kehormatan dan akhlak mereka yang mulia! 
Sebagai jejaka yang ehem, berazam mahu menjadi beriman, sudah tentu saya mengimpikan seorang perempuan yang beriman juga untuk menjadi permaisuri yang bertakhta di jantung hati.
Muntah. 
Perempuan yang tahu dan bersungguh menjaga kehormatannya dan menutup semua pintu-pintu syubhah yang ada. Sekiranya kehormatan diri sendiri pon tidak tahu dijaga dengan rapi dan teliti, apa jaminannya si isteri boleh menjaga kehormatan anak-anak dan suami? 
Dan perempuan yang beriman itu sudah tentunya bukan seorang perempuan yang kerjanya berselpie dan dok tukar gambar profail dua puluh empat jam sehari! Wahai!
“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan (bertingkah laku) seperti orang-orang jahiliyyah dulu…”
[al-Ahzab, 33:33]
Inche gabbana seksis! Chauvinis! Dan suka buat generalisasi! Bukan semua perempuan begitu tahu?? 
Lailaha illallah. Itu bukan saya yang kata. Bukan saya mahu membentuk persepsi berat sebelah terhadap kaum Hawa. Bukan saya ni seorang lelaki yang jumud yang mahu mengawal dan mempengaruhi hidup wanita! 
Tetapi itu kata-kata Allah. Itu wahyuNya yang disampaikan kepada ar-Rasul terchenta. Itu firmanNya yang maha tinggi dan mulia! 
Dan tentang generalisasi, juga sudah saya terangkan dalam sebuah status berasingan. Betapa generalisasi itu malah adalah uslub yang digunakan di dalam al-Quran! 
Apabila Allah menyebut wahai sekalian manusia atau wahai sekalian orang-orang beriman contohnya, dengan sifat-sifat dan perilaku yang tertentu, adakah Allah menyifatkan semua manusia atau semua orang-orang beriman dengan sifat begitu?
Dalam surah as-Saff ayat dua misalnya, Allah berfirman:
“Wahai orang-orang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?”
[as-Saff, 61:2]
Nah, adakah semua orang-orang beriman bercakap tidak serupa bikin? Tidak bukan?
Apa hikmahnya Allah membuat generalisasi sedemikian rupa? Agar yang sudah berbuat sedemikian segera bertaubat; dan agar mereka yang belum berbuat atau ada memasang niat, segera membatalkan hasrat! 
Fuh. 
Mungkin ada dalam kalangan anda yang pernah terdengar atau terbaca kisah seorang pemuda yang bakal mengahwini seorang perempuan yang dikatakan bisu, pekak dan buta. Pernah? 
Bagaimana akhirnya pemuda itu mendapati, isteri yang sudah dinikahinya itu bukanlah bisu, pekak dan buta secara literal dan fizikalnya. Namun dia bisu kerana tidak pernah mengungkapkan sesuatu yang mungkar, pekak kerana tidak pernah mendengar sesuatu yang ingkar dan buta kerana sepanjang hayatnya, tidak pernah melihat maksiat. Subhanallah. Perkahwinan antara pemuda dan perempuan solehah itu akhirnya menghasilkan zuriat yang bukan setakat soleh, malah hebat dan musleh. 
Mungkin kisah ini hanyalah rekaan dan tidak dapat diabsahkan kesahihannya. Namun pengajarannya tetap relevan dan boleh menjadi iktibar kepada kita semua. 
Betapa buah yang baik dan harum, hanya boleh dihasilkan oleh benih-benih yang terbaik dan dijaga rapi. Betapa anak-anak yang soleh dan solehah itu, benihnya juga bermula dari sang bapa dan sang ibu yang menjaga adab dan perilakunya, akhlak dan budi pekertinya, sakhsiah dan tatasusilanya. 
Apabila saya mengatakan “…mereka ni tak sesuai dibuat isteri,” ia adalah suatu saranan kepada para lelaki beriman di luar sana untuk berikhtiar sebaiknya untuk mencari bakal isteri yang bersungguh-sungguh menjaga kehormatannya. Ia bukan paksaan. Ia bukan arahan. Tetapi ia merupakan suatu pilihan.
Ia juga merupakan suatu nasihat buat semua kaum perempuan di luar sana, agar lebih berhati-hati dalam berikhtilat di alam maya. Sungguh, alam maya itu adalah suatu rimba yang cukup luas tanpa sempadan, yang penuh dengan binatang-binatang buas dan raksasa-raksasa ganas, yang menunggu masa dan peluang sahaja untuk menerkam dan membaham mangsanya. 

Lindungilah diri anda dan tutuplah pintu-pintu zina yang ada kerana sungguh, kita pada hari ni sedang hidup di dalam dunia yang penuh dengan kegilaan dan kerakusan. 
Ia adalah suatu nasihat yang bunyinya mungkin nakal dan bersahaja, namun ikhlas dan tulus, kerana saya amat sayangkan anda semua selayaknya saudari-saudari seIslam saya.

Buat-buat batuk. [Kredit]

Kerana akhirnya, perempuan-perempuan yang baik itu selayaknya hanya untuk lelaki-lelaki yang baik. Dan lelaki-lelaki yang baik itu juga selayaknya hanya untuk perempuan-perempuan yang baik.
Senyum.
-gabbana- 
Tulisan ini ditujukan buat semua kaum perempuan, tanpa ada sebarang diskriminasi atau kompromi. Tida kiralah yang free hari atau bertudung, bertudung bawal atau labuh, hijabista atau berpurdah.
Moga ada manfaatnya. Moga Allah redha.
Moga-moga.
credit: 
http://angelwearsgucci.blogspot.com/2015/02/perempuan-nan-sekarang.html

No comments: